Sunday, February 28, 2010

Semoga berjaya...


Bulan Februari dan Mac sememangnya bulan yang sibuk buat sukan negara dengan berlangsungnya beberapa acara sukan bertaraf antarabangsa...

Walaupun cuaca kering, ia bukan penghalang buat penganjur dalam menjalankan setiap kejohanan atas semangat kesukanan yang tinggi disamping harapan agar setiapnya memberikan pulangan kepada negara...

Le Tour De langkawi (LTDL) 2010, Kejohanan tenis WTA, Golf Terbuka Malaysia dan Ironman Langkawi antara yang berlangsung dalam masa 2 minggu bermula 21 Februari lepas dan kemuncaknya ialah pada 7 Mac iaitu peringkat terakhir LTDL 2010...

Ingin saya mengulas sedikit mengenai LTDL 2010....walaupun ianya tidak bermula ditempat "sepatutnya" namun ia tetap meriah dan kekal dengan status Hors nya....

Cuma sedikit suram selepas hanya 1 pasukan pro tour yang menyertainya dan ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi tinggi yang selama ini dikecapi LTDL....

Apapun, saya mengharapkan LTDL akan terus dianjurkan dalam suasana yang meriah dan bagi saya, walaupun KBS terpaksa "menanggung" penganjuran LTDL, namun ianya lebih baik daripada ia tidak dianjurkan memandangkan ia sedikit sebanyak menggambarkan imej negara kepada badan antarabangsa, pasukan bertaraf dunia dan penaja serta penyiar yang sebelum ini menganggap LTDL sebagai penganjuran kejohanan sukan berbasikal terbaik Asia....

Sekali lagi, haarapan saya agar LTDL dianjurkan dalam suasana tanpa kontroversi, dan lebih penting saya ingin melihat salah seorang pelumba negara, tanpa mengira pasukan mana yang diwakili dapat menaiki podium dan menyarung jersi utama pada peringkat terakhir dari Kuala Kubu ke Kuala Lumpur....semoga berjaya...

Catatan Epain: Teringat "stand upper" depan Masjid Zahir pada LTDL 2008...

Wednesday, February 24, 2010

Langkah wajar...

Saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini agar setiap sekolah mewajibkan pelajarnya menyertai satu jenis sukan sememangnya sesuatu yang tepat pada masanya...

Tan Sri sebagai Menteri Pelajaran pastinya sedar tentang keperluan melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malahan aktiviti ko-kurikulum...

Namun saya juga percaya bahawa saranan itu berikutan sukan negara ini yang semakin suram malahan tidak banyak atlet pelapis yang dilahirkan khususnya dalam beberapa sukan yang sebelum ini pernah mengetengahkan nama-nama yang gah di arena sukan...

Cuma saya sedikit "terkilan" kerana pelajar sekarang perlu dipaksa untuk menyertai sebarang aktiviti walaupun diperingkat sekolah...

Saya sedar, ianya harus dilihat dalam onteks yang lebih besar bahawa ianya bukanlah salah pelajar semata-mata malahan melibatkan pihak-pihak lain juga....cuma pihak lain ini akan segera "sembunyi tangan" sebaik jari dituding ke arah mereka...

Antara pihak yang saya maksudkan ialah ibu bapa itu sendiri yang kini tidak melihat sukan sebagai aktiviti sampingan atau "alternatif" untuk anak-anak mereka...mereka lebih suka melihat jumlah A yang bakal dicetak dalam kertas keputusan anak masing-masing....

Selain ibu bapa, satu pihak lagi ialah guru atau nama lainnya, cikgu...guru sekarang dan dahulu terlalu banyak bezanya....antara perbezaan pastinya guru kini "terpaksa" memilih kerjaya guru atas desakan tertentu cuma bukan semua yang bersifat demikian...masih ada yang sememangnya "born to be teacher"....

Bila mana kerjaya itu bukannya kerjaya sukarela...makanya ada sesetengah mereka akan melakukan kerja mereka secara sambil lewa....apatah lagi dalam memastikan mereka cekap dalam sesetengah sukan....

Jadi, saya lihat situasi kini boleh lah dianggap "kritikal" dalam memupuk pelajar bersukan...

Saya masih ingat ketika saya bersekolah dulu...impian untuk beraksi sebagai pemain sekolah adalah impian hampir semua pelajar walaupun ada pelajar yang "kaki bangku"...dan bila di pilih sebagai pemain sekolah, kami semua akan memasang pula cita-cita untuk bermain ke peringkat yang lebih tinggi, hatta daerah sekalipun....

Bapa saya tidaklah terlalu menggalakkan saya menyertai aktiviti sukan...tetapi apabila beliau mengetahui saya terpilih mewakili sekolah dalam tiga jenis sukan iaitu bolasepak, sepaktakraw dan bola baling, beliau tidak pernah membantah atau marah andai kata saya terpaksa menghabiskan waktu yang lebih di sekolah untuk berlatih....

Bapa saya sebagai alumni Sekolah Victori (Victoria Institution) juga sedar bahawa untuk memastikan anaknya mengikuti jejak langkahnya, penyertaan dalam sukan amat penting...cuma hajat beliau tidak kesampaian...

Apa yang saya harapkan agar saranan tan Sri Muhyiddin itu tidak dilihat sebagai arahan atau pekeliling menteri semata-mata...saya harap ia dijayakan dengan sepenuh hati demi memastikan kita dapat melahirkan pelajar yang aktif dan trampil dalam segenap segi...

Sukan juga merupakan antara cara terbaik memastikan pelajar tidak terjebak dalam gejala negatif...saya masih ingat dalam satu majlis, Tan Sri Khoo Kay Khim berkata dari sudut sejarah, tidak ada satu pun kaum Cina dahulu yang aktif dalam sukan melibatkan diri mereka dalam kegiatan komunis....jadi itu antara bukti bahawa sukan mempunyai banyak aspek positif berbanding negatif...

Cuma jangan juga apa yang disarankan Tan Sri Muhyiddin itu dilaksanakan dalam keadaan melepaskan batuk ditangga sudahlah...jangan juga nanti, bila Menteri bertukar, polisi juga berubah....

Catatan Epain: Teringat zaman perseteruan dengan SRK (2) Kuala Ampang dalam bolasepak

Sunday, February 21, 2010

"Hari Basikal" di Majlis Anugerah SAM 2009...

Sabtu 20 Februari pastinya akan diingati sebagai ahli-ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia, SAM sebagai hari yg bersejarah iaitu dengan berlangsungnya Majlis Anugerah SAM 2009 di Hotel Hilton PJ...

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri KBS, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta beberapa presiden persatuan sukan sememangnya mencatatkan sejarah tersendiri buat SAM khususnya...

Dalam majlis itu, jaguh berbasikal trek bagi acara keirin, Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai atlet terbaik 2009 pilihan ahli SAM...dan mengikut sejarah, Azizul merupakan pelumba basikal negara yg pertama dinobatkan sebagai Atlet Terbaik SAM sejak diperkenalkan pada 1995....

Wartawan Kosmo, Shahril Nizam Abdullah pula "menang besar" selepas beliau menggondol hadiah utama laporan keseluruhan terbaik serta pemenang kategori laporan khas terbaik....secara keseluruhan, Shahril membawa pulang hadiah wang tunai RM 11,500 (1500 lagi jumlah disenarai pendek dalam 3 kategori)...Shahril juga membawa pulang trofi utama...Ironinya, laporan Shahril adalah berkenaan sukan berbasikal yang membolehkannya menang hadiah keseluruhan

Epain bersama Shahril Nizam

Apapun, sekalung tahniah buat ahli majlis SAM yg bertungkus lumus memastikan majlis berjalan lancar...

Walaupun tidak sehebat Anugerah Academy atau Grammy apatah lagi Anugerah Sukan Negara, tetapi ia tetap bermakna...apa lah maknanya kalau grand tapi ade yg tak puas hati...

Bagi saya, ia merupakan satu "restart" buat SAM selepas mengharungi beberapa tahun yg suram sebelum ini...dan diharapkan ia mampu menjana semula SAM yang lemau sebelum ini...

Saya sendiri teruja untuk menghadiri majlis ini, malahan saya menunggu hingga habis, seolah-olah saya pun menganjurkannya...apa yang buat saya teruja ialah hasrat untuk bersama SAM, saya simpan sejak saya disekolah rendah lagi yang pada ketika itu SAM sememangnya mempunyai tempat yang tinggi dikalangan wartawan sukan malahan dikalangan wartawan lain...

Jadi, apabila sudah bersama SAM, dan secara tidak langsung terlibat dengan aktiviti SAM pastinya saya tidak akan melepaskan setiap ruang dan peluang dalam menyumbang keringat walaupun sedar, tiada "direct return" yg bakal saya dapat...

Saya berharap, agar SAM menjadi SAM yang sepatutnya...bak kata Tan Sri Muhyiddin ketika berucap yang mana beliau berharap SAM tidak terlibat dalam politicking yang serius sepertimana yang berlaku dalam persatuan sukan Kebangsaan lain...

Beliau juga berharap agar SAM terus menjadi catalyst dalam pembangunan sukan negara malahan beliau sendiri sedar dengan kesan disebalik kewartawanan sukan dalam membantu kerajaan mencapai hasrat negara....

Tan Sri juga sempat berkongsi bahawa wartawan sukan mempunyai kesan tersendiri dan beliau memberi contoh mengenai isu sukan MSSM yang secara tidak langsung telah "membuka mata" beliau hingga mendorong beliau mengambil tindakan sewajarnya....

Jadi, ini adalah petunjuk bahawa wartawan tak kira sukan atau meja lain mempunyai peranan yang tersendiri dan penting sekaligus menyangkal pemikiran sesetengah pihak yang saya anggap ortodoks yang mengatakan sukan "tidak penting"...hmmmm...hanya yang suka menari zapin dan main caklempong sahaja yang mengatakan sukan tak penting...

Semalam, saya tak sempat nak bergambar dengan ramai personaliti tetapi sempat juga saya bergambar dengan Datuk Naim Mohd, Abu Bakar Atan, Khawari dan Rizal Hasyim....

Epain bersama "The Mole"...atau Loose Cannon
Epain bersama Presiden SAM
Bersama Mantan Presiden SAM, Abu Bakar Atan
Epain bersama Datuk Naim Mohd, Timbalan Presiden PKBM

Akhir kata...secara jujur saya mengucapkan tahniah kepada pemenang....dan buat ahli majlis SAM juga tahniah tidak terhingga daripada saya....

Catatan Epain: Masa ditunjukkan "perjalanan SAM" awat blog Epain tak masuk sekali?...tahun depan tunjuk ye?...dah la tak bertanding.....

Monday, February 15, 2010

Siapa pilihan SAM Sabtu ini?

Sabtu, 20 Februari merupakan tarikh penting buat Persatuan Penulis Sukan Malaysia, SAM.

Pada hari tersebut bukan sahaja ahli SAM dan warga penulis sukan berkumpul malahan pada hari itu juga, atlet terbaik yang menjadi pilihan ahli SAM bakal dinobatkan...

5 nama telah disenarai pendek diketuai Datuk Lee Chong Wei dan diikuti Nicol Ann David, Azizulhasni Awang, Daniel Bego, pasangan Leong Mun Yee-Pendelela Rinong dan pasukan badminton wanita negara...hmmmm pasukan bolasepak Sukan Sea tak de pulak ye?

Saya tak mahu mengulas panjang siapa yang akan terpilih kerana saya lebih tertarik untuk mengulas mengenai Anugerah Kewartawanan Sukan yang diadakan demi menghargai sumbangan penulis sukan khususnya wartawan yang selama ini bekerja disebalik tabir dalam memartabatkan sukan negara...

Dengar khabar, penyertaan begitu menggalakkan baik dari media cetak mahupun elektronik....

Apa tidaknya, anugerah ini turut menawarkan hadiah wang tunai serta trofi dan buat sang pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM 10500...500 untuk senarai pendek, 3000 untuk pemenang kategori dan 7000 lagi untuk keseluruhan....

Saya secara peribadi harus angkat topi dengan SAM yang mewujudkan anugerah ini kerana bagi saya wartawan sukan juga harus dihargai dalam menjadi penghubung antara dunia sukan dengan peminat....

Tatkala atlet mempunyai "peak" serta sesi latihan tertentu sebelum menghadapi kejohanan, wartawan sukan pula boleh dikatakan kerja 24-7 dalam mencari bahan untuk tatapan pembaca/pendengar/penonton...

Namun tidak dinafikan juga terdapat sesetengah wartawan sukan yang lebih mementingkan keuntungan peribadi cuma apa yang mampu saya harapkan, walaupun bersifat peribadi, tanggungjawab sebenar sebagai wartawan sukan tidak dipinggirkan...

Ada juga wartawan yang suka menghentam tak tentu pasal serta mensensasikan sesuatu fakta tetapi dalam masa yang sama sukan "baling batu sembunyi tangan"....

Tetapi rasanya itulah dunia kewartawanan...ada yang menyifatkannya sebagai dunia yang penuh kepura-puraan, mencabar dan tidak kurangnya yang merasakan ia dunia yang seronok....dan pastinya saya merindui setiap saat saya bergelar seorang wartawan sebelum ini...

Walau apapun definisinya saya harap tanggungjawab sebagai seorang wartawan sukan harus dipertingkatkan....

Catatan Epain: Kan bagus kalau ada anugerah untuk blogger...

Sunday, February 7, 2010

Fahamlah saya...

Posting sebelum ini saya memberi sedikit komen mengenai pembatalan majlis pecah tanah pembinaan velodrom di Dungun...

Agak kecewa dengan perkembangan tersebut tetapi sy tidak boleh komen panjang memandangkan saya tidak berada di sana...

Tetapi terima kasih kepada Yohteh yang membuat link ini mengenai cerita di Dungun...Baca sini

Saya tak nak komen lebih panjang, biarlah cerita tersebut diselesaikan oleh semua bijak pandai...

Apapun, dengarnya, pembinaan tersebut tetap dijalankan cuma berlainan lokasi berbanding cadangan asal...

Bagi saya, walau dimana pun ia dibina, selagi ia di Terengganu dan mampu memajukan sukan dan dapat memenuhi hasrat negara, tiada salahnya dan buat penduduk pula gunakanlah ia sebaik mungkin...

Kepada pemimpin khususnya pemimpin sukan pula, pastikan projek tersebut benar2 memberi manfaat kepada semua (bukan kepada segelintir rakyat sahaja)...dan paling penting jangan biarkan ia menjadi "Satu lagi Projek Gajah Putih"...

Catatan Epain: Bayangkan Piala Dunia UCI dilangsungkan di Dungun?...pastinya Chris Hoy antara yang bakal menikmati keropok Terengganu...

Thursday, February 4, 2010

Apa yang tak kena di Dungun?

Berita yang berlaku di Dungun apabila majlis pecah tanah velodrom baru yang akan dirancang untuk dibina terpaksa dibatalkan, sememangnya memeranjatkan...

Saya yang tidak berada di sana, sememangnya sukar untuk mengulas panjang mengapa penduduk harus membantah pembinaan velodrom tersebut yang dikatakan turut dilengkapi kemudahan untuk sukan lain....

Namun saya rasa, penduduk disana mempunyai sebab tersendiri untuk membantah dan perkara ini perlu dilihat dari semua sudut dan bukannya menuding jari ke arah sesiapa...

Apapun, secara peribadi saya sememangnya sedikit kecewa dengan apa yang berlaku, kerana ia seharusnya disambut baik memandangkan Malaysia sememangnya memerlukan satu velodrom yang terbaik untuk memajukan sukan berbasikal yang dilihat berpotensi menyumbang pingat Sukan Olimpik...

Pemilihan Dungun juga merupakan satu pengiktirafan kepada daerah tersebut yang kebiasannya dikenali dengan industri keropok Kampung Masjid dan beberapa aktiviti lain yang tidak banyak didengari masyarakat Malaysia khususnya yang bukan berasal dari Terengganu...

Saya sendiri ketika menemuramah Ketua Pengarah MSN, Dato Zolkples Embong ketika beliau baru dilantik sebagai KP pernah menyarakan agar Terengganu dipilih sebagai negeri kecemerlangan sukan berbasikal dinegara ini...

Malahan Persatuan Lumba basikal Dungun juga antara yang aktif melaksanakan program di sana walaupun tidak banyak bantuan yang diberikan kepada mereka...

Dato Zol mengakui bahawa mereka sudah lama mempertimbangkan cadangan tersebut malahan kalau tak silap projek tersebut bukanlah satu "projek mega" yang menelan belanja ratusan juta ringgit namun ia mampu memberikan pulangan yang setimpal...

Lihat sahaja hasil yang dikeluarkan Terengganu....jika mereka mampu menghasilkan atlet berwibawa dalam keadaan serba kekurangan, apatah lagi jika mereka mempunyai kemudahan yang diidamkan?...

Namun untuk menyalahkan penduduk Dungun juga tidak adil....mereka pastinya mempunyai sebab tersendiri untuk membantah dan saya rasa cara yang dibuat KBS juga mesti kena dengan corak dan budaya penduduk disana...

Pastinya mereka akan faham sebaiknya, jika penjelasan dilakukan dengan betul...jika tidak, banyak lagi projek yang lebih tidak menguntungkan mereka sebelum ini ditolak mentah-mentah....

Catatan Epain: KBS, jangan lupa juga pada Velodrom Cheras dan Ipoh...

Monday, February 1, 2010

Adakah Piala Dunia satu yang ekslusif?



Baru-baru ini saya sempat menyaksikan majlis menandatangani pengesahan RTM sebagai hak penyiar berlesen untuk siaran 35 perlawanan Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan...

RTM dengan "bangganya" menyatakan ia merupakan satu petunjuk bahawa mereka sentiasa mengutamakan rakyat khususnya peminat bolasepak dalam menonton kejohanan yang paling dinantikan itu...

Saya bukannya mahu memperli RTM malahan seharusnya menunjukkan tanda bagus kepada mereka yang berusaha membawa siaran tersebut untuk tontonan rakyat Malaysia khususnya yang tidak mempunyai saluran tv berbayar namun merupakan peminat setia sukan nombor 1 dunia itu...

Apa yang agak menyedihkan saya apabila siaran tersebut dan kejohanan lain seakan telah menjadi "tebusan" pihak-pihak tertentu yang mengaitkan apa yang mereka lakukan atas nama keuntungan...

Tebusan yang maksudkan ialah membawa siaran tersebut secara ekslusif ke saluran berbayar tersebut yang mana pastinya akan membuatkan penonton yang tidak mempunyai kemudahan tersebut kempunan untuk menyaksikan 32 pasukan terhebat dunia beraksi di Afrika Selatan nanti...

Tidak boleh dinafikan bahawa keuntungan sangat penting tetapi wajarkah ia dijadikan sebab utama hingga secara tidak langsung mengabaikan keinginan pihak lain?...



RTM harus dipuji walaupun dilihat usaha RTM seakan pada mulanya "tidak ikhlas" tetapi atas kesedaran bahawa paparan kejohanan tersebut mampu membawa pulangan yang "lumayan", RTM tidak mempunyai pilihan selain membawanya untuk tontonan rakyat Malaysia...

Namun RTM juga seharusnya tidak terlalu "syok sendiri" bahawa ini menunjukkan mereka terbaik kerana apa gunanya jika mereka mampu membawa rancangan terbaik tetapi mereka sendiri masih teraba-raba mencari formula terbaik untuk menarik lebih ramai penonton tanpa hanya terlalu mengharap dengan "aura" yang dimiliki sesetengah rancangan...

Mungkin RTM dapat menggunakan peluang menayangkan perlawanan Piala Dunia dalam mengembalikan keyakinan penonton Malaysia untuk kembali memilih RTM sebagai saluran utama walaupun musim atau demam Piala Dunia berakhir nanti....

Catatan Epain: Tengok game delay jelah...

Kuala Lumpur yang aku kenal...



1 Februari pastinya akan terus dikenang sebagai tarikh yang cukup istimewa buat Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur...

Walaupun kini bertugas di Shah Alam, bagi saya Kuala Lumpur tidak "boleh lari" daripada pemikiran saya kerana di bandaraya inilah saya dilahir dan dibesarkan walaupun mengikut alamat sebenar, rumah saya sebelum ini yang dianggap sebagai kampung, Ampang Jaya terletak didalam negeri Selangor ...

Setiap orang pastinya mempunyai cerita tersendiri bila melihat Kuala Lumpur...baik yang merantau untuk bekerja, berpindah mengikut suami atau isteri, berkursus atau mungkin datang ke Kuala Lumpur hanya untuk melawat, setiapnya mempunyai cerita...

Rasanya tak perlu diceritakan apakah itu Kuala Lumpur, kerana hampir setiap rakyat negara ini tahu bahawa ia merupakan ibu negara Malaysia...

Namun tidak semua yang dapat merasa intipati Kuala Lumpur yang sebenar....bagi sesetengah orang khususnya yang tidak pernah menjengah Kuala Lumpur, ia hanyalah satu bandaraya yang penuh dengan kemaksiatan (seringkali dikaitkan) atau kota yang penuh pancaroba....

Bagi generasi muda atau remaja, mungkin mereka melihat Kuala Lumpur dari sudut keseronokan dan peluang "membuat duit" memandangkan sebaik mereka mampu menjelajah sendiri, KLCC, Menara KL, Berjaya Times Square, Pavillion dan banyak tempat tumpuan lagi telahpun terbina...

Bagi saya dan golongan sebelum ini pula, pastinya Kuala Lumpur dilihat dari sudut yang sedikit berbeza...

Terkadang apabila setiap Sabtu, saya dan keluarga pergi ke pasar malam Jalan Tuanku Abdul Rahman, pastinya saya akan terkenang kesibukan jalan tersebut yang pernah dibanjiri dengan identiti terdahulu Kuala Lumpur seperti bas mini dan bas-bas "panjang" kelolaan syarikat seperti Toong Fong, len Chee, Len Seng, Foh Hup dan sebagainya...

Sememangnya juga saya akan terkenang bagaimana sewaktu kecil dahulu, arwah bapa saya akan membawa saya berjalan-jalan ke stesen keretapi, minum di Restoran John (di Masjid India), makan tosai di Federal House dan LLN (belakang Mydin) serta Chow Kit...

Banyak perubahan telah berlaku di Kuala Lumpur, tetapi jiwa Kuala Lumpur sebenarnya masih kekal seperti dahulu dan pastinya itulah Kuala Lumpur yang saya kenal hingga ke hari ini...

Walaupun telah banyak bandar baru wujud di pinggir Kuala Lumpur namun ia tetap tidak dapat menyamai "feel" ketika berada di bandaraya kosmopolitan ini...membeli kain ela di Nilai sekalipun belum tentu sama dengan membeli kain yang sama di Jalan TAR walaupun harga di Jalan TAR sedikit mahal...

Apapun, walau cepat mana sekalipun arus pemodenan dan perubahan, namun Kuala Lumpur tetap mempunyai "aura" tersendiri kepada sesiapapun dan "aura" tersebut akan kekal walaupun seseorang itu hanya sempat berada di Kuala Lumpur untuk seketika...

Catatan Epain: Bas mini 23...turun kat Leboh Ampang atau dikenali bus stand pulau...tambang 60 sen....