Friday, April 11, 2008

Nik Mahmud Pesuruhjaya Sukan baru


Wednesday, April 9, 2008
Nik Mahmud Pesuruhjaya Sukan baru

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan untuk tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Elyas Omar sebagai Pesuruhjaya Sukan yang akan tamat tempoh perkhidmatan 15 April ini, lapor HASHNAN ABDULLAH.

Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, serentak itu kementerian melantik Pengerusi Penasihat Panel Sukan KBS, Datuk Nik Mahmud Nik Yusoff, 59, bagi mengisi kekosongan tersebut.

“Pemilihan Nik Mahmud dibuat kerana beliau adalah bekas Ketua Setiausaha KBS yang sudah semestinya mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam berurusan dengan persatuan sukan tempatan.

“Malah, selepas tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Setiausaha KBS pun, beliau masih bersama kementerian sebagai Pengerusi Penasihat Panel Sukan KBS bermula 2005,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini semalam

Kontrak Elyas yang sepatutnya berakhir 15 Januari lalu disambung hingga 15 April ini oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ismail turut berharap, dengan pelantikan Nik Mahmud, dia dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang belum dapat diselesaikan semasa Elyas memegang jawatan berkenaan.

‘‘Apa pun, itu bukan bermakna Elyas gagal melaksanakan tugasnya tetapi mana-mana yang tergantung itu dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap Nik Mahmud dapat melihat secara terperinci mana-mana klausa dan peraturan dalam usaha memperkasakan lagi akta-akta sukan sedia ada

‘‘Ini kerana kami dapat melihat ada beberapa kelonggaran dalam akta-akta sukan sedia ada,” katanya.

Nik Mahmud yang ditemui kemudian menyifatkan pelantikan tersebut satu cabaran yang getir sepanjang penglibatannya dalam bidang sukan negara.

‘‘Jika berdasarkan laporan akhbar mengenai isu-isu melibatkan Pesuruhjaya Sukan sebelum ini, memang saya agak gusar menyandang jawatan ini. Tetapi saya yakin pelantikan ini dibuat kerana kepercayaan menteri kepada kebolehan saya menangani masalah yang bakal timbul,” katanya.

2 comments:

manga to read said...

Semoga pesuruhjaya sukan ini akan melaksanakan pelaksanaan undang-undang sukan dengan adil...
Beliau perlu mempunyai kredibiliti untuk menyelesaikan masalah persatuan-persatuan sukan di Malaysia ni


http://www.ligakampung.com/blog

epain said...

jgn silap...pesuruhjaya sukan tak sama dgn pesuruhjaya polis...

ikutkan dia tak boleh campur tgn dlm hal sesetengah persatuan...dia just boleh nasihat..itupun nasihat perlembagaan persatuan...

persuruhjaya sukan ni just ambil alih tugas Registrar of Society (ROS)..khusus utk pendaftaran NGO sukan....

cuma tak paham apasal nama dia "pesuruhjaya"...sbb kalau silap langkah, boleh jad perusuh...