Selamat Tahun Baharu 2020

Thursday, April 29, 2010

Perginya seorang lagi lagenda...

Selepas dikejutkan dengan kembalinya ke rahmatullah ayah kepada Allahyarham Mokhtar Dahari, Dahari Abeng kelmarin dunia bolasepak dikejutkan dengan kehilangan seorang lagi lagenda bolasepak negara, Arthur Koh...

Bagi generasi baru, mungkin mereka tidak mengenali siapa itu Arthur Koh, malahan saya sendiri tidak pernah menyaksikan kehebatan mendiang dengan mata kepala saya sendiri, cuma saya mengetahuinya melalui arwah bapa saya...

Saya pernah bertanya pada arwah bapa saya, siapa itu Arthur Koh dan bapa saya berkata beliau merupakan antara pemain Selangor terhebat, sezaman dengan Datuk Ghani Minhat...

Saya secara peribadi mengenali mendiang ketika tinggal di Ampang Jaya sedikit masa dahulu malahan mendiang merupakan regular customer warung makan mak saya di Jalan 1, Ampang Jaya...

Mendiang yang saya panggil "uncle" akan meminta "milo manis", saya anggap antara yang tidak sombong....walaupun jarang berborak panjang tetapi setidak-tidaknya saya akan menegurnya dengan "apa khabar" dan mendiang tidak lokek untuk menjawab kembali sapaan saya diikuti dengan senyumannya...

Semangat mendiang terhadap sukan dapat dilihat menerusi penglibatan aktifnya dalam sukan badminton walaupun di usia emas....waktu mendiang bermain badminton sekitar petang dan sebaik habis, mendiang akan singgah dulu di warung mak saya atau warung sebelah yang dikenali sebagai "Chah Tom Yam" dan pastinya "milo manis" menjadi pilihan...

Mendiang juga fasih berbahasa Melayu dan seharusnya mampu menjadi contoh terbaik buat yang lain dan kalau saya tak silap juga, kebanyakan kenalan atau "rakan borak" mendiang berbangsa Melayu...

Sesungguhnya negara kehilangan seorang lagi lagenda bolasepak negara yang saya sifatkan sebagai ahli sukan sejati malahan orang FAM pastinya akan ingat sumbangan mendiang khususnya beberapa tahun kebelakangan ini ketika mendiang menganggotai jawatankuasa tatatertib FAM....(catatan ringkas mengenai mendiang boleh diikuti di SINI)

Catatan Epain: Takziah buat keluarga mendiang

Bisik-bisik dari Wisma FAM...

Epain sebenarnya selama ni malas nak komen pasal pemergian skuad Harimau Muda A ke Slovakia yang telah mencetuskan beberapa kontroversi termasuklah kes "Raja Lawak" di Slovakia...

Tetapi kali ni, rasanya perlu untuk Epain menyatakan sesuatu berdasarkan pemerhatian Epain dalam beberapa siri khususnya selepas menyaksikan aksi skuad kendalian Azrai Khor Abdullah tu menerusi paparan di media elektronik...

Pada mulanya Epain rasa ia hanyalah perasaan Epain semata-mata...sebab Epain malas nak buat sebarang tuduhan terhadap FAM memandangkan Epain telahpun lama meninggalkan arena media arus perdana selama hampir setahun...

Namun baru-baru ni Epain mendapat panggilan daripada kenalan lama yang masih berkhidmat dalam media yang bertanya mengenai isu pasukan Harimau Muda A....

Dipendekkan cerita, kemungkinan ada cerita baru yang akan berlegar ataupun cerita ni sebenarnya telah lama berlegar cuma ia seakan ditutup atau sesetengah media malas nak mengetengahkan isu ini...

Khabarnya pegawai pasukan yang pergi ke Slovakia selama ni bolehlah diibaratkan sebagai "bercuti sambil bekerja"...memandangkan sesetengah tugas mereka telah diambil alih pegawai Persatuan Bolasepak Slovakia....

Epain perasan hal itu dan seakan disahkan pula oleh seseorang yang mengatakan bahawa beberapa tugas utama yang seharusnya dijalankan pegawai terbabit tidak dijalankan sepenuhnya bukan atas sebab pegawai tersebut "lepas tangan" tetapi telah diambil alih....

Jadi kalau benar ia berlaku, ada baiknya FAM menerangkan secara keseluruhan apakah yang dijalani pemain dan pegawai yang pergi ke Slovakia...

Sefahaman Epain, tugas "mengambil alih" pasukan tidak termaktub dalam penerangan FAM selama ini....kalau tak silap Harimau Muda A pergi ke Slovakia atas sebab "perlawanan kompetitif" bukannya "tugas kompetetif"...

Epain cuba cari maklumat tapi dek sibuk dengan tugas harian pencarian Epain sedikit terbatas...jadi kalau ada sesape boleh tolong, Epain harap bolehlah berikan sedikit penerangan...yelah, takut-takut apa yang Epain sangkakan selama ini hanyalah sangkaan kosong semata-mata...

Catatan Epain: Apa kata FAM bawa blogger pergi "melancong" ke Slovakia sekali....

Tahniah buat Azizul & Nicol...

Satu lagi sejarah sukan negara tercatat pada malam 27 April lepas di Hotel Mandarin Oriental apabila jaguh berbasikal keirin negara, Azizul hasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2009 pada majlis Anugerah Sukan Negara...

Datuk Nicol Ann David juga mencatat sejarah tersendiri dengan dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan buat kali ke 7, satu rekod yang amat membanggakan...

Apapun, tahniah buat kedua-duanya khususnya buat Azizul yang baru berusia 22 tahun dan ia pastinya memberikan semangat buat Azizul dalam mengecapi lebih banyak kejayaan di masa depan...

Pemilihan sebagai olahragawan sememangnya mempunyai tekanan tersendiri tetapi bila mendengar acceptance speech Azizul bahawa dia berjanji untuk berlatih dengan labih gigih, Epain percaya sesuatu mampu dihasilkan di masa depan....

Harapan Epain agar pemilihan Azizul turut menjadi pembakar semangat buat atlet lain dalam mengejar kejayaan tanpa mengira batas kepayahan yang bakal di lalui kerana Azizul juga walaupun baru berusia awal 20 tahun dia turut melalui jerih payah tersendiri hingga diangkat sebagai pelumba keirin no 1 dunia, satu pencapaian membanggakan...

Tetapi perjalanan Azizul dan Nicol masih panjang...dan khususnya buat Azizul, pingat idaman haruslah menjadi keutamaan anda sekarang...tapi jangan lupa jugak janggungjawab lain....ntah2, pocket rocket junior on the way tak?.....

Catatan Epain: Pocket ciput...

Tuesday, April 27, 2010

Semoga berjaya...

Hari ini 27 April, ada 2 acara yang tidak kurang pentingnya malahan tidak keterlaluan untuk Epain mengatakan bahawa kedua-duanya bersifat Nasional...

Pertama perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia ke 43 yang akan bermula di Bukit Melawati, Selangor dan keduanya ialah Anugerah Sukan Negara yang akan berlangsung di sebelah malam bertempat di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur...

Walaupun 2 acara yang berbeza namun keduanya amat penting buat sukan negara dan ia melibatkan "maruah"...

Perlumbaan Jelajah Malaysia membawa nama "Malaysia" maka oleh sebab itu Epain mengatakan ia penting, sepenting Anugerah Sukan Negara dimana penyampaian anugerah tersebut disempurnakan YDP Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin...

Diakui, kedua-dua acara ini merupakan antara acara akhir yang Epain cover ketika bersama RTM dahulu dan Epain sememangnya mengakui bahawa berada di kedua-dua acara sebagai suatu yang amat istimewa...

Tahun lepas, Epain menyaksikan Dato' Lee Chong Wei dinobatkan sebagai penerima Olahragawan Kebangsaan 2008 manakala dalam Jelajah Malaysia pula Epain menyaksikan Anuar Manan dinobatkan sebagai pemenang Jersi Hijau Raja Pecut....

Apapun, Epain mengucapkan selamat maju jaya buat penganjur Jelajah Malaysia walaupun edisi kali ini berlangsung sedikit "pelik" dimana peringkat akhir, kriterium langkawi tidak menawarkan mata...

Anugerah Sukan Negara pula, Epain menjangkakan Azizulhasni Awang akan dipilih namun Chong Wei pastinya saingan utama manakala wanita pula Epain memilih pasangan badminton, Wong Pei Tty-Chin Ee Hui...

Catatan Epain: Teringin nak cover mcm "muda-muda" dulu....

Thursday, April 22, 2010

Bila manusia diberi kuasa....

Saya masih teringat dengan apa yang pernah dikatakan bekas guru saya ketika di Sekolah teknik Bintulu masa saya berada dalam tingkatan 4 dan 5 di sana...

Cikgu Farid, iaitu cikgu bengkel elektrik dalam satu kuliah maghribnya berkata "kaum lelaki ni tak boleh di beri 3 TA (alif, ba, ta) yakni TAKHTA, HARTA & WANITA...kalau lelaki mendapat ketiga-tiga TA ni, maka boleh rosak apa yang ada disekelilingnya"...

2-3 hari ni, apa yang pernah di katakan cikgu Farid tu kembali berlegar difikiran saya, khususnya yang membabitkan beberapa persatuan sukan (atau mungkin politik)...

Ada persatuan yang cuba menunjukkan bahawa organisasi yang diduduki mereka adalah hak mutlak masing-masing selepas dilantik menjawat jawatan penting...

Mereka seakan lupa bahawa apa yang diberi kepada mereka merupakan amanah bukannya sesuatu yang bersifat peribadi....

Ada juga yang mahu menjadikan persatuan yang mereka duduki itu sebagai milik mereka dari dulu, kini dan selamanya...

Dan jika benar itu semua telah, akan dan sedang berlaku, saya harap agar ia dapat dijauhkan sejauh-jauhnya...

Tak baik...kita hidup di dunia ni pun tak lama...tapi takkanlah sampai kita hendak menongkat langit dan mendabik dada bahawa kuasa yang dimiliki itu menjadikan kita hebat....

Ishhh ishhhhhh...

Catatan Epain: HarTA dah ada, waniTA dah ada...takhTA je belum...

Wednesday, April 21, 2010

Sinetron dalam sukan Malaysia

Bulan Januari lepas ketika sy berada di JB, sy sempat menonton Buletin Utama TV3 yang antara lain memaparkan mengenai Sound on Tape DS Shahidan Kassim yg berkata "Dato Zol ni nak apa ni?...Kalau nak bertinju (bertumbuk), meh kita bertinju"...lebih kurang lah mcm tu...

Masa tu kalau tak silap pasal isu KOAM yang menyumbang hanya 7 pingat emas pada Sukan Sea laos namun DS Shahidan Kassim menemplak bahawa beliau merupakan presiden paling banyak menyumbang pingat emas dengan 20 keseluruhan termasuk yang disumbangkan sukan renang...

Apapun, apa yang saya tonton di Bulletin Utama TV3 dan Sukan Awani 21 April nyata berbeza dengan episod pertama Sinetron yang dipertontonkan...

KOAM dikatakan "berdamai" dengan MSN dan yang menariknya, Dato Zol yang diajak bertinju sebelum ini bersalam dengan DS Shahidan....

Saya bukannya mempersoalkan tindakan MSN tetapi seakan "tertipu" dengan apa yang saya dengar dan tonton sebelum ini...

Walaupun Dato Zol lebih banyak mempunyai masalah dengan Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim (ramai lg yang mempunyai masalah dgn Karim), tetapi ia tidak boleh berakhir sebegitu sahaja...

Jika benar Dato Zol mengucapkan "tiada maaf bagimu", saya rasa biarlah KOAM yakni termasuklah Karim sendiri yang mengucapkan "ampunkan daku" kepada MSN, bukannya sekadar Presidennya sahaja...

Ini tidak lain menunjukkan bahawa Karim Ibrahim seakan mempunyai "kekebalan" tersendiri dalam KOAM....

Kenapa perlu kesalahan yang dilakukan orang lain, tetapi orang lain pula yang menanggung dosanya?...

Entahlah...bg saya, sudah tiba masanya buat Karim Ibrahim ditunjukkan jalan keluar daripada KOAM sebelum persatuan tersebut menjadi K-Oam...ke Karim sudah mempunyai percaturan untuk mencalonkan Presiden baru bagi menentang DS Shahidan?...mesti orang tu mempunyai sumber kewangan yang kukuh kan Karim?

Catatan Epain: Teringat peribahasa rimba yang pernah dikatakan Datuk Khalid Yunus

Monday, April 19, 2010

Dunia bola dah makin gila...

Dua tiga hari lepas, Epain tak dapat nak buat posting terbaru dek kerana masalah yg tak dapat dielakkan berkaitan broadband...

Apapun, Epain kembali selepas masalah selesai dan juga baru pulang dari JB melaksanakan tugas rasmi kerajaan...

Apa yang menarik perhatian Epain dua tiga hari lepas bila Epain terdengar menerusi corong radio berita perpindahan pemain yang kembali hangat memandangkan musim akan berakhir bulan depan...

Pastinya berita perpindahan pemain antara paling hangat diperkatakan walaupun bulan Jun nanti, Piala Dunia akan berlangsung...

Dan dalam bebanyak berita, yang paling mendapat perhatian Epain ialah yang berkaitan dengan Wayne Roonehy yg dikatakan menarik minat Real madrid...

Tambah menarik, Rooney dikatakan sanggup ditawarkan sebanyak 90 juta pound untuk membawanya ke Santiago Bernabue dan gaji yg bakal diterimanya dikatakan mencecah 250 ribu pound seminggu...

Wow!!...90 juta pound?...dah hilang akal ke?...kalau convert ke RM mencecah RM 450 juta dan ia hampir menyamai kos untuk membina Litar Sepang...

Hmmmm..entahlah...nak kata mengikut peredaran ekonomi tak juga tetapi harga yang dikatakan itu sememangnya diluar jangkaan akal...

Bayangkan harga pemain 20 tahun akan datang...200 juta pound?...dunia dah makin gila lah nampaknya...

Catatan Epain: Dapat 0.001% drpd nilai perpindahan pun jadilah...boleh beli banglow..

Wednesday, April 14, 2010

BAM yang lebam...

Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memecat Setiausaha Kehormatnya, P. Ganga Rao nyata mengejutkan walaupun tidak semua yang terkejut sebab ada yang telah lama menjangkakan ada beberapa "nama besar" dalam BAM akan ditunjukkan jalan keluar, baik secara terhormat atau tidak...

Apapun, bagi Epain keputusan yang diketuai Presidennya, Datuk Nadzmi Salleh bolehlah dianggap sebagai "kamikaze" memandangkan negara bakal berdepan saingan Piala Thomas di Kuala Lumpur Mei depan...

Harap2 moral pemain tidak terjejas dan bagi pegawai yang masih berkhidmat, teruskan khidmat anda dan pastikan Piala Thomas kekal di Kuala Lumpur untuk 2 tahun berikutnya...

BAM pasti mempunyai sebab tersendiri untuk menyingkirkan Ganga Rao memandangkan "usaha" untuk menyingkirkan Ganga telah dibuat sebelum ini menerusi penggantungan yang ditarik semula oleh Datuk Nadzmi yang kemudiannya menafikan sebarang tindakan sedemikian...

Tetapi akhirnya jodoh Ganga tidak kekal lama dan diceraikan "talak tiga" oleh BAM....maknanya Ganga terpaksa mengharapkan "cina buta" untuk kembali ke BAM...

Whooooo...nampaknya BAM kembali hangat dengan pergolakan...walaupun ada yang menganggap ia satu perkara biasa tetapi ianya tetap perkara yang tidak sihat....namun adakah banyak pihak yang berminat dengan segala curahan yang BAM dapat?...

Almaklumlah...Penaungnya merupakan First Lady Malaysia...tambah pulak KBS menambah peruntukan dan berbagai lagi "priviledge" yang BAM dapat....

Ok lah...walau apa pun nak jadi biarlah ia terjadi dengan penuh professional...jangan sampai nanti ada pulak yang saman menyaman dalam mahkamah...

Catatan Epain: Banyak kali gak masuk court....court badminton lah...

Monday, April 12, 2010

Tahniah Jang...

Di kesempatan ini, Epain mengucapkan ribuan tahniah buat skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan yang baru sahaja muncul juara Piala FA, kejuaraan kedua buat Negeri Sembilan...

Secara keseluruhan Epain berpuas hati dengan corak permainan kedua-dua pasukan termasuklah Kedah walaupun tewas menerusi penentuan penalti...

Epain baru sahaja muncul di Astro Awani dalam rancangan Sukan Awani Ekstra yang membincangkan mengenai perlawanan akhir Piala FA...

Sama ada suka atau tidak, Epain ditanyakan mengenai pemain yang menjadi perhatian dan secara jujur, Epain melihat pemain veteran Negeri Sembilan, Ching Hong Haik merupakan antara pemain yang baik pada malam Sabtu walaupun Badrol Bakhtiar diumumkan sebagai pemain terbaik...

Satu lagi soalan yang "mencuit" Epain ialah mengenai perubahan format dimana Fadzri Haziz selaku hos bertanya adakah perlu format diubah dan Epain berterus terang mengatakan bahawa format tidak perlu diubah dan jika FAM ingin meneruskan "tradisi" mengubah format, mungkin apa yang perlu diubah ialah jumlah pasukan yang menyertai Piala FA, yakni hanya 16 pasukan terbaik menyertainya...

Apapun, walaupun 2 jaringan sahaja yang disaksikan sepanjang 120 minit permainan, Epain tetap terhibur dengan perlawanan akhir edisi ke 21...sekali lagi, tahniah buat semuo peminat Nogori Sembilan...teruskan Hobin....

Catatan Epain: Ramalan tak tepat...jangka 2-0...sekali 1 sama...

Wednesday, April 7, 2010

Hari sedih buat sukan berbasikal...

Di saat sukan berbasikal baru sahaja meraikan kejayaan Azizulhasni Awang di Kejohanan Trek Dunia di Denmark minggu lepas...semalam sukan berbasikal kebangsaan di kejutkan dengan kematian salah seorang pelumba lebuhraya, Nurfaradhini Zakaria...

Kematian beliau cukup mengejutkan ketika sedang menjalani latihan rutin...

Apapun, Epain ambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham dan juga kepada seluruh warga sukan berbasikal amnya...

Alfatihah...

Monday, April 5, 2010

"Borak-borak" di Kafe Sukan

Isnin, 5 April Epain diberi peluang muncul dalam program Kafe Sukan, Astro Arena...

Program bual bicara santai episod kedua menampilkan Epain, Loose Cannon dan Haresh Deol...

Ada 6 isu menarik yang kami kupas dalam rancangan kelolaan Akhbar Shaari dan diterbitkan Slamet yang bersiaran pada jam 8.00 malam setiap Isnin...

Antara isu yang menarik perhatian kami termasuklah KOAM, "Hand of Luck" Shukor Adan, Tiger Woods, Menembak, Lagenda Bolasepak dan Sukan di Sekolah...

Kali ini, Kafe Sukan lebih "segar" memandangkan kami digalakkan "mencantas" antara satu sama lain walaupun ia tidak banyak terjadi....

Rizal Hashim pula diberikan sudut khas yang boleh Epain namakan sebagai "The Cannon Corner"..

Apapun, satu perbincangan yang menarik cumanya kalau Epain boleh mencadang, Epain rasa ada lebih baik sesuatu isu dibincangkan dengan lebih panjang...pasti lebih menarik...

Catatan Epain: Buat yang "terkena"...jangan marah haaa

Malam tadi di Awani...malam ini di Arena...

Malam tadi, Epain dijemput sekali lagi orang kuat Sukan Awani, Fadzrie Haziz dalam rancangannya, Sukan Awani Ekstra yang kali ini bersiaran pada jam 11.30 malam...

Tajuk perbincangan ialah pasca separuh Piala FA...dan antara yang menjadi highlight Epain ialah bila Fadzrie bertanyakan mengenai "kekecewaan peminat Selangor dan anda sendiri sebagai peminat Selangor"....hahaha...siapa yang tak kecewa kan?...

Epain tak sempat rakam baik menerusi kamera video ataupun stillphoto memandangkan "orang rumah" terpaksa menenangkan hero dirumah yang frust tak dapat nak ikut Epain...takpe..insyaAllah pada masa depan, giliran anda pula menjadi tetamu...manalah tau, makbul doa Epain nak lihat anda muncul antara "star" dalam sukan negara satu hari nanti...

OK...malam ini pula Epain dijemput penerbit Kafe Sukan, Slamet menjadi sebahagian daripada tetamu disamping Loose Cannon dan haresh Deol, wartawan yang masih berkhidmat dengan Malay Mail manakala Loose Cannon bekas wartawan Malay Mail...kiranya ex RTM + ex Malay Mail + "Real" Malay Mail...

Tajuknya biarlah menjadi embargo buat sementara...

Apapun, jangan lupa janji temu kita di Kafe Sukan, jam 8.00 malam hanya di Astro Arena, nadi Sukan Malaysia...(chewahh, dah macam promo pulak)...




Catatan Epain: Harap2, Loose Cannon tak lepaskan tembakan kat Epain...

Saturday, April 3, 2010

Macam mana nak lahirkan juara, kalau begini caranya...

2-3 hari lepas, Rizal hashim ade membangkitkan pendapat bekas KP MSN, datuk Wira Mazlan Ahmad mengenai pembangunan sukan peringkat akar umbi...

Dalam penulisannya, Datuk Mazlan menekankan bahawa dalam sukan, "tidak semua untuk melahirkan jaguh olimpik"....

Saya bersetuju dengan pendapatnya namun bukanlah sepenuhnya kerana bagi saya, untuk mewujudkan komuniti sukan yang lebih besar atau menjadi "negara sukan" seperti yang pernah dilaungkan Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah ketika Datuk Seri Azalina masih Menteri KBS, negara ini memerlukan sekurang-kurangnya seorang juara bertaraf Olimpik...

Ia secara tidak langsung dapat menarik minat lebih ramai rakyat bergiat dalam sukan walaupun pada akhirnya bukan semua yang mampu ke Olimpik, aras tertinggi sukan dunia...

Antara yang dibangkitkan Datuk Mazlan termasuklah betapa pentingnya sekolah dalam menjadi pusat pembangunan sukan dan ia boleh dikatakan lebih aktif selepas ini apabila Timbalan Perdana Menteri, tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa peranan sekolah amat penting selain beliau yang juga Menteri Pelajaran menyarankan agar setiap murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu jenis sukan...

Namun ia sukar menjadi kenyataan jika realiti di sekolah diambil kira...antara realitinya ialah kurangnya cikgu yang mampu menjadi jurulatih yang benar-benar terlatih dalam sukan...

Setiap hari untuk ke tempat kerja, saya akan melalui Rawang...dan sepanjang perjalanan untuk ke Lebuhraya Utara Selatan, saya akan melintasi 2 buah sekolah (tanpa menyebut nama sekolah tersebut)...

Apa yang saya lihat, cara sukan dikendalikan sememangnya amat "tidak sesuai"...saya pasti, semasa saya melalui sekolah tersebut, pelajar yang sedang bersukan sebenarnya adalah untuk kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK)....

Tetapi adakah molek mereka bersukan menggunakan seragam sekolah?...macam mana nak bangunkan sukan di sekolah jika pelajar sendiri ditanam mentalitinya bahawa sukan hanyalah untuk riadhah?...

Jika ada yang merasakan saya hanya berpandangan peribadi...mungkin ada baik jenguk sebentar blog G. Krishnan di SINI...

lagi best, lompat tinggi diajar oleh cikgu wanita yang berbaju kurung....boleh ke berbaju kurung untuk lompat tinggi?

Catatan Epain: Teringat Cikgu Sreetharan di SMHK....

Thursday, April 1, 2010

Happy birthday...RTM..



Bagi sesetengah orang, 1 April mungkin dianggap hari "April Fool" tetapi bagi warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau pernah berkhidmat dengannya, 1 April menandakan hari ulangtahun penubuhan organisasi media elektronik tertua di negara ini...

Walaupun ada yang menganggap RTM sebagai ketinggalan zaman ataupun kolot, tetapi hakikatnya telah ramai yang "membesar" dengan RTM malahan tidak keterlaluan mengatakan ada yang menghembuskan nafas ketika bersama RTM....

Epain secara peribadi sememangnya ada beberapa perkara yang tidak setuju dengan RTM tetapi Epain tidak boleh lari hakikat bahawa RTM adalah tempat yang memberi peluang menimba pengalaman...

Malahan Epain terkadang mengaku bahawa RTM adalah tempat kerja yang pertama sedangkan Epain sebelumnya pernah bekerja ditempat lain...



Sungguhpun ada yg memandang enteng terhadap RTM, tetapi ramai tak boleh menolak hakikat bahawa Angkasapuri akan terus gah di Federal Highway....


Apapun, Epain sekali lagi mengucapkan selamat ulangtahun ke 64...ishhhhh tua dah tetapi orang kata bertambah tua bertambah mengancam.....

Buat bos lama, Datuk Ibrahim Yahya, semoga sukses dan buat teman-teman lama di Meja Sukan Berita RTM sama ada yang masih berkhidmat atau telah menyambung "hayat" ditempat lain, Epain mengambil kesempatan ini mengucapkan semoga and terus maju jaya dengan kerjaya masing-masing....

Viva RTM!!

Catatan Epain: Rindunya nak bikin....