Selamat Tahun Baharu 2020

Monday, February 1, 2010

Kuala Lumpur yang aku kenal...



1 Februari pastinya akan terus dikenang sebagai tarikh yang cukup istimewa buat Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur...

Walaupun kini bertugas di Shah Alam, bagi saya Kuala Lumpur tidak "boleh lari" daripada pemikiran saya kerana di bandaraya inilah saya dilahir dan dibesarkan walaupun mengikut alamat sebenar, rumah saya sebelum ini yang dianggap sebagai kampung, Ampang Jaya terletak didalam negeri Selangor ...

Setiap orang pastinya mempunyai cerita tersendiri bila melihat Kuala Lumpur...baik yang merantau untuk bekerja, berpindah mengikut suami atau isteri, berkursus atau mungkin datang ke Kuala Lumpur hanya untuk melawat, setiapnya mempunyai cerita...

Rasanya tak perlu diceritakan apakah itu Kuala Lumpur, kerana hampir setiap rakyat negara ini tahu bahawa ia merupakan ibu negara Malaysia...

Namun tidak semua yang dapat merasa intipati Kuala Lumpur yang sebenar....bagi sesetengah orang khususnya yang tidak pernah menjengah Kuala Lumpur, ia hanyalah satu bandaraya yang penuh dengan kemaksiatan (seringkali dikaitkan) atau kota yang penuh pancaroba....

Bagi generasi muda atau remaja, mungkin mereka melihat Kuala Lumpur dari sudut keseronokan dan peluang "membuat duit" memandangkan sebaik mereka mampu menjelajah sendiri, KLCC, Menara KL, Berjaya Times Square, Pavillion dan banyak tempat tumpuan lagi telahpun terbina...

Bagi saya dan golongan sebelum ini pula, pastinya Kuala Lumpur dilihat dari sudut yang sedikit berbeza...

Terkadang apabila setiap Sabtu, saya dan keluarga pergi ke pasar malam Jalan Tuanku Abdul Rahman, pastinya saya akan terkenang kesibukan jalan tersebut yang pernah dibanjiri dengan identiti terdahulu Kuala Lumpur seperti bas mini dan bas-bas "panjang" kelolaan syarikat seperti Toong Fong, len Chee, Len Seng, Foh Hup dan sebagainya...

Sememangnya juga saya akan terkenang bagaimana sewaktu kecil dahulu, arwah bapa saya akan membawa saya berjalan-jalan ke stesen keretapi, minum di Restoran John (di Masjid India), makan tosai di Federal House dan LLN (belakang Mydin) serta Chow Kit...

Banyak perubahan telah berlaku di Kuala Lumpur, tetapi jiwa Kuala Lumpur sebenarnya masih kekal seperti dahulu dan pastinya itulah Kuala Lumpur yang saya kenal hingga ke hari ini...

Walaupun telah banyak bandar baru wujud di pinggir Kuala Lumpur namun ia tetap tidak dapat menyamai "feel" ketika berada di bandaraya kosmopolitan ini...membeli kain ela di Nilai sekalipun belum tentu sama dengan membeli kain yang sama di Jalan TAR walaupun harga di Jalan TAR sedikit mahal...

Apapun, walau cepat mana sekalipun arus pemodenan dan perubahan, namun Kuala Lumpur tetap mempunyai "aura" tersendiri kepada sesiapapun dan "aura" tersebut akan kekal walaupun seseorang itu hanya sempat berada di Kuala Lumpur untuk seketika...

Catatan Epain: Bas mini 23...turun kat Leboh Ampang atau dikenali bus stand pulau...tambang 60 sen....

No comments: